Wednesday 8 February 2012

KRITIKAN TERHADAP TEORI ROSTOW DAN KARL MARX

Rostow merupakan seorang tokoh ekonomi yang menganalisis mengenai proses pembangunan. Walaupun Rostow bukanlah orang pertama yang menganalisis proses pembangunan, namun Teori Tahap Pertumbuhan yang dikemukakannya menjadi salah satu teori yang paling banyak mendapat perhatian.
Keadaan ini dijelaskan oleh beberapa faktor, antaranya adalah seperti berikut:

              I.      Analisis mengenai proses pembangunan yang dikemukakan oleh beliau, bukan sahaja menyelidik mengenai perubahan-perubahan yang bersifat ekonomi tetapi juga perubahan yang bersifat sosial dan politik;

            II.      Analisis yang dikemukakan adalah analisis pertumbuhan yang lengkap kerana bukan sahaja menganalisis mengenai perubahan secara menyeluruh tetapi juga perubahan yang berlaku dalam pelbagai sektor ekonomi; dan

         III.      Beliau juga mengemukakan beberapa peringkat pembangunan dan menjelaskan sifat-sifat yang ada dalam setiap peringkat tersebut.

Tahap-tahap pertumbuhan yang dikemukakan oleh Rostow adalah :
1)     Tahap Masyarakat Tradisional
Ciri-ciri masyarakat dalam tahap pertama ini ialah berbentuk feudal yang kurang memberi galakan kepada mobiliti ke atas, wujud kelas dalam masyarakat dan agihan pendapatan juga tidak seimbang.

2)     Prasyarat untuk Lepas Landas
Pada tahap kedua pula, prasyarat untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan mula dibentuk. Di Eropah Barat, tahap ini melibatkan perubahan radikal dalam 3 sektor bukan industri.

3)     Tahap Lepas Landas
Ciri-ciri pada tahap ketiga pula adalah sangat penting kerana tahap ini didefinisikan sebagai revolusi industri iaitu dicirikan oleh perubahan radikal dalam cara pengeluaran.

4)     Tahap Gerakan Ke Arah Kedewasaan
Tahap keempat pula adalah kemajuan yang yang dicapai oleh sesebuah masyarakat. Masyarakat kini sudah berupaya menggunakan teknologi dan banyak sektor utama telah dibangunkan.

5)     Tahap Penggunaan Tinggi
Ciri-ciri yang ada pada tahap yang terakhir ialah masyarakat lebih mementingkan kebajikan dan keselamatan. Mayarakat sudah matang untuk mencapai tahap ini selepas pencapaian dalam pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Walaupun ada yang menerima tahap pertumbuhan yang dikemukakan oleh Rostow, namun terdapat juga pihak yang menolak teori yang dikemukakan ini. Kritikan utama yang diterima oleh Rostow adah mengenai perbezaan setiap tahap yang kabur atau kurang jelas. Malah ia juga sukar untuk dibuktikan secara emprikal dan kemungkinan ada sesebuah Negara yang tidak mengikut urutan tahap yang telah ditetapkan.

Keadaan ini jelas dibuktikan dengan melihat kemajuan yang dicapai oleh Negara Jepun dan Korea Selatan. Kedua-dua Negara ini tidak melalui peringkat pertumbuhan yang dikemukakan oleh Rostow, di mana kedua-dua nNegara ini tidak menjalankan sektor tradisional pada peringkat awal pertumbuhan ekonomi negaranya.

Karl Marx adalah salah seorang tokoh yang mengkaji mengenai pertumbuhan ekonomi. Karl Marx menganalisis dan mengatakan bahawa tingkat teknologi yang rendah dan kurangnya sumber kekayaan alam bukanlah punca utama kepada masalah pembangunan. Malah, Karl Marx menolak sistem Kapitalis dan menerima sistem Sosialis. Seperti juga Rostow, Karl Marx juga membahagikan perubahan pembangunan kepada lima tahap iaitu :
1)     Masyarakat Primitif
2)     Perhambaan
3)     Feudal
4)     Kapitalis
5)     Sosialis atau Komunis

Karl Marx berpendapat dalam teorinya bahawa pada sistem kapitalis akan wujud dua kumpulan utama iaitu Kumpulan Kapitalis dan Kumpulan Pekerja. Kumpulan kapitalis merupakan kumpulan yang menambahkan kekayaan melalui penggunaan stok modal, manakala golongan pekerja adalah golongan yang memiliki tenaga untuk dijual.

            Karl Marx menambah bahawa, golongan kapitalis suka menolong golongan yang setaraf dengan mereka serta suka menggunakan teknik penjimatan buruh. Keadaan ini akan mewujudkan pengangguran. Malah kadar upah yang diberikan kepada buruh juga akan berkurangan. Kesannya, kadar pengangguran akan meningkat dan golongan pekerja akan terus berada dalam kemiskinan. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pertentangan antara pemilik modal dengan pekerja yang seterusnya akan mewujudkan masyarakat sosialis atau komunis.

            Walaupun Karl Marx memberikan padangan yang sedemikian, namun masih terdapat pekerja-pekerja di Barat yang lebih menyokong sistem kapitalis kerana mereka mendapat untung yang lebih dalam jangka panjang melalui peningkatan output di bawah sistem Kapitalis berbanding dengan sistem Sosialis . Ini terbukti apabila Negara Komunis jatuh satu demi satu dalam tahun 1980-an dan Negara tersebut telah menukarkan sistemnya kepada sistem Demokrasi.

No comments:

Post a Comment