Wednesday 11 September 2013

CERPEN_KERANA HATI BICARA


Tajuk : Kerana Hati Bicara



Dato’ Rashid mencapai senaskah akhbar hiburan yang telah disediakan di dalam kafe D2B sementara menanti pemandunya tiba. Terpampang tajuk utama akhbar, “Gadis Misteri Dalam Hidup Amirul”. Berita tersebut menjadi tumpuannya. Artikel yang menceritakan mengenai Amirul sedang menyulam cinta dengan seorang gadis yang tidak dapat dikesan identitinya itu dibaca dengan teliti. Dia sangat mengenali Amirul kerana Amirul telah dilantik untuk menjadi Jurucakap kepada perabot keluaran syarikatnya selama tiga tahun. Amirul telah dipilih oleh Shafie kerana Amirul mempunyai personaliti sebagai selebriti yang sangat dikagumi oleh rakyat Malaysia. Sikapnya yang sentiasa merendah diri dan menghormati orang sangat disenangi oleh para peminatnya. Tutur katanya yang sopan membuatkan dia sangat mudah untuk didekati. Dikurniakan rupa paras yang kacak juga menjadikan dia seorang yang sangat sempurna untuk dilabelkan sebagai lelaki idaman.
Usai membaca, Dato’ Rashid hanya mampu menggelengkan kepalanya. Penulis tersebut bersungguh-sungguh mahu mengorek rahsia cinta Amirul. Pelbagai penilaian dan tafsiran yang ditulis bagi menggambarkan wanita istimewa yang telah menjadi pilihan Amirul.
“Kisah peribadi orang pun nak dijual. Nasib kamulah Amirul. Ini jalan yang kamu pilih.” Komen Dato’ Rashid.
“Maaf Dato’. Saya terlambat.” Ucap Kasim. Dato’ Rashid yang agak terkejut dengan ucapan maaf dari Kasim yang muncul secara tetiba di sebelahnya hanya menganggukkan kepala. Dia segera melipat dan meletakkan semula akhbar tersebut ke tempat asalnya. Kemudian dia bingkas bangun dan terus mengikut langkah pemandunya itu menuju ke arah kereta yang di parkir bertentangan dengan kafe tersebut.
“Rania hendak ke mana Pak Kasim?” tanya Dato’ Rashid apabila dia mengetahui kelewatan Kasim menjemputnya adalah untuk menghantar Rania kerana kereta Rania telah mengalami kerosakan.
“Ke rumah Encik Shafie, Dato’. Cik Rania nak teman Encik Shafie ke majlis ulang tahun syarikat kawannya.” Dato’ Rashid mengangguk. Hatinya mula kerisauan. Rania semakin kerap keluar rumah. Walau pun ditemani Shafie, hatinya masih berasa bimbang kerana Rania adalah anak tunggalnya. Tingkah laku Rania mencerminkan maruah keluarga.

Bukan ke itu Shafie? Mana Rania?
“Pak Kasim berhenti sekarang kat tepi!” Arah Dato’ Rashid. Pak Kasim yang terkejut dengan arahan tersebut segera memberi lampu signal kiri. Tergesa-gesa dia mengambil laluan kiri. Apabila kereta telah berhenti, Dato’ Rashid segera keluar dan memerhati ke arah kedai bengkel kereta yang berada di seberang jalan tidak jauh dari situ.
Memang itu Shafie. Tapi mana Rania? Dato’ Rashid mula bimbang. Segera dia mencapai telefon bimbitnya dan terus menghubungi Rania.
“Hello papa.” Terdengar suara Rania di hujung talian.
“Rania, kamu kat mana?”
“Kat rumah Shafie papa. Kenapa?”
“Dengan siapa?” Rania mula merasa tidak sedap hati dengan pertanyaan dari ayahnya.
“Dengan Shafie lah papa. Kenapa ni papa?”. Mendengarkan jawapan dari Rania itu telah membuatkan Dato’ Rashid berasa kecewa. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Rania. Rania tidak pernah menipunya.
It’s ok. Cuma jangan balik lewat. Jangan sampai menyusahkan Shafie untuk hantar kamu pulang.” Pesan Dato’ Rashid dengan suara yang cuba dikawal supaya anaknya tidak dapat mengesan kerisauan yang telah bersarang dihatinya. Pesanan tersebut diterima dengan baik oleh Rania. Dia berasa lega mendengarnya. Sangkaannya, ayahnya tidak dapat menghidu perkara yang cuba disembunyikannya. Sebab itu ayahnya menamatkan perbualan dengan cepat. Tetapi hakikat sebenarnya Dato’ Rashid telah merancang sesuatu. Dia perlu mencari sendiri jawapan mengapa Rania sanggup menipunya. Dia segera mengarahkan Kasim untuk beredar dari situ sebelum disedari oleh Shafie. Arah tujunya sekarang ini adalah pejabat dan bukannya rumah. Dia mahu mencari sesuatu di bilik pejabat anak gadisnya. Gerak hatinya kuat mengatakan rahsia anaknya ada di dalam bilik tersebut.

Sampai sahaja di hadapan bangunan wisma miliknya, Dato’ Rashid terus membuka pintu kereta dan keluar tanpa mempedulikan keadaan kereta yang masih belum dimatikan enjinnya. Dari jauh, Dato’ Rashid memberi isyarat menyuruh Kasim menunggu di dalam kereta sahaja sementara dia ke bilik Rania. Sebaik sahaja sampai di aras sepuluh, Dato’ Rashid segera mengarahkan kerani Rania, Maria yang masih belum pulang untuk membuka pintu bilik Rania yang berkunci. Dato’ Rashid terus menuju ke arah almari pakaian Rania sebaik sahaja pintu bilik tersebut dibuka.
“Dato’ nak saya bantu ke?” tanya Maria apabila dia melihat Dato’ Rashid seolah mencari sesuatu di dalam bilik tersebut.
“Tak perlu. Awak keluar dan tutup pintu tu.” Maria hanya mengangguk dan segera beredar. Dato’ Rashid beralih ke ruang meja kerja Rania. Dia membuka laci-laci di bawah meja tersebut. Juga tiada apa yang pelik dijumpainya. Walaupun dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dicarinya, tapi dia masih tetap meneruskan tindakannya. Setelah hampir satu jam mencari, Dato’ Rashid mula berputus asa dan berhasrat untuk pulang sahaja ke rumah. Tetapi hasratnya terhenti apabila dia terpandangkan sebuah foto album yang terletak di atas kabinet rendah berhadapan dengan meja kerja Rania. Foto album tersebut berbentuk hati  dan nampak istimewa. Dia segera membelek foto album tersebut.
Dia benar-benar terkejut apabila melihat koleksi gambar-gambar Amirul di dalam foto album tersebut. Kenapa Rania menyimpan gambar-gambar Amirul? Pelbagai persoalan bermain dalam fikirannya. Dia terus menyelak helaian foto album tersebut. Dan buat sesaat dia dapat rasakan jantungnya seakan terhenti apabila melihat foto yang terakhir iaitu gambar Rania sedang memaut erat lengan Amirul. Anaknya kelihatan sangat mesra dengan Amirul. Tahulah dia kini bahawa Rania sedang bercinta dengan Amirul. Pesanan awalnya kepada Rania supaya jangan menjalinkan sebarang hubungan dengan penyanyi tersebut tidak diendahkannya. Dia sangat tidak bersetuju dengan pilihan anaknya. Amirul bukan pilihan yang tepat untuk dijadikan pasangan hidupnya. Hubungan ini perlu ditamatkan sebelum ia menjadi lebih serius. Itulah keputusannya.

            “Kenapa ni papa. Rania dah besar. Rania berhak untuk tentukan siapa pasangan Rania.” Tegas suara Rania saat meluahkan ketidakpuasan hatinya. Dia dipanggil secara tergesa-gesa pada waktu pagi itu oleh PA ayahnya hanya semata-mata untuk meminta dia memutuskan hubungannya dengan Amirul. Rania benar-benar kecewa dengan sikap ayahnya yang dianggap sudah ketinggalan zaman.
“Kerjaya kamu berdua sangat berbeza. Timbul tidak sefahaman di kemudian hari nanti.” Keras nada suara Dato’ Rashid.
“Tak papa. Amirul bukan macam tu. Rania boleh faham kerjaya dia. Takkan ada masalah. Kami sefahaman papa.” Rania masih cuba mempertahankan cintanya.
“Papa jumpalah Amirul dulu. Kenal dulu dia macam mana orangnya.” Rania masih mengharapkan agar ayahnya berubah fikiran.
“Papa dah jumpa. Dan papa tahu Amirul seorang lelaki yang baik. Tapi itu bukan jaminan kamu berdua akan bahagia. Sudahlah kamu berdua berlainan latar belakang, kerjaya juga berbeza.” Larang Dato’ Rashid. Rania hampa. Dia berusaha untuk mempertahankan hubungannya dengan Amirul. Pelbagai alasan diberikannya tetapi ayahnya tetap dengan pendiriannya supaya mereka berdua berpisah.
“Rania, keputusan papa muktamad. Sekarang ni kamu pilih. Kamu nak putuskan hubungan kamu berdua atau kerjaya Amirul musnah. Pilihan di tangan kamu.”
“Papa!” Rania sangat terkejut dengan keputusan terakhir ayahnya. Kenapa ayahnya boleh berubah laku begini? Ayahnya bukan seorang yang pentingkan diri. Rania benar-benar buntu. Tanpa memberikan apa-apa jawapan Rania terus keluar meninggalkan ayahnya dengan perasaan yang sangat tidak puas hati. Dato’ Rashid hanya mampu mengeluh melihat sikap Rania. Dia benar-benar perlu buat sesuatu untuk memisahkan mereka berdua sebelum hubungan mereka bertambah serius.

“Aku tak boleh terima keputusan papa. Bagi aku papa sangat pentingkan diri sendiri. Tentu ada orang menghasutnya.” Bentak Rania. Dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya dekat Shafie. Shafie merupakan sahabat baiknya sejak kecil. Dia mengenali Shafie kerana dia adalah anak kepada Siti Aishah, bekas pembantu rumahnya. Umur mereka yang hanya berbeza tiga tahun membuatkan mereka kelihatan seperti rakan sebaya. Walaupun Siti Aishah telah berhenti menjadi pembantu rumahnya sepuluh tahun yang lalu kerana masalah kesihatan, ia bukanlah penghalang kepada persahabatan yang telah terjalin antara mereka berdua. Malah kini Shafie merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat ayahnya. Shafie dilantik oleh ayahnya kerana Shafie sangat berkelayakan. Sikapnya yang sentiasa tenang dan penyabar membuatkan ayahnya yakin menyerahkan syarikat tersebut untuk diuruskan oleh Shafie. Dia sendiri tidak setanding dengan Shafie dalam membuat sebarang keputusan untuk syarikat.
“Tentu ada alasan kenapa papa kau halang hubungan ni. Sejak kecil papa kau sentiasa berikan yang terbaik untuk kau.”
“Ini pilihan aku Shafie. Aku akan bahagia bersama Amirul. Kenapa susah sangat dia nak setuju?” Marah Rania. Dia masih tidak dapat menerima kenyataan. Nasihat dari Shafie dibiarkan sahaja. Sedikit pun dia tidak ambil peduli. Namun Shafie masih tetap cuba untuk menenangkan Rania.
“Itu kata kau Nia. Seorang ayah tidak melihat kebahagian anaknya untuk jangka masa pendek. Kau kena ingat, ayah kau seorang pelabur. Dia melihat perkahwinan kau dari sudut lain. Ayah kau menentang bukan kerana Amirul tidak layak dijadikan menantu tetapi kerana kerjaya korang berdua yang berbeza." Rania mengalihkan pandangannya ke arah Shafie. Kata-kata Shafie menarik perhatiannya.
“Kau bekerja di pejabat dan ada masa tetapnya. Amirul tidak bekerja di pejabat dan tiada masa tetap. Dia tidak dapat menentukan masa lapangnya.” Sambung Shafie.
“Kau menawarkan kerja kepada orang tetapi Amirul menunggu tawaran kerja dari orang.” Rania mengetap bibir. Hatinya cuba menafikan kebenaran dalam kata-kata Shafie.
“Tapi kerjaya yang sama juga belum tentu menjanjikan kebahagiaankan? Sekarang ni pasangan yang mempunyai banyak persamaanlah yang paling banyak bercerai.” Shafie tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Rania masih tidak dapat menerima hakikat hubungannya dengan Amirul perlu dihentikan.
“Jadi, apa yang kau nak buat sekarang? Nak bawa Amirul jumpa papa kau?” tanya Shafie. Untuk seketika Rania hanya mendiamkan diri. Dia cuba untuk mencari penyelesaian tanpa mengguriskan hati kedua-dua pihak.
“Hubungan ini tetap diteruskan. Amirul tidak perlu tahu. Apa nak jadi, jadilah. Yang pasti, aku tak sanggup kehilangan Amirul.” Luah Rania dengan nada yang sangat perlahan. Dia benar-benar kecewa hubungan cintanya tidak direstui oleh ayahnya. Dia sendiri tidak menyangka yang perkenalan yang pada mulanya atas dasar kerja telah mewujudkan perasaan cinta dalam hati mereka. Kebaikan yang ada dalam diri Amirul telah membuatkan dia jatuh hati kepada lelaki itu. Dia yakin menerima huluran cinta Amirul kerana Shafie juga merestui hubungan tersebut. Shafie menyakinkan dirinya bahawa Amirul adalah calon yang terbaik sebagai suaminya. Kini setelah hampir dua tahun dia menyulam cinta dengan Amirul, ayahnya pula menghalang. Dan lebih merumitkan keadaan, Shafie juga bersependapat dengan ayahnya.

            “Kenapa show tu dibatalkan?” Irwan hanya menggelengkan kepalanya sebagai jawapan kepada pertanyaan Amirul. Dia sendiri terkejut apabila menerima panggilan telefon yang memberitahu persembahan Amirul terpaksa dibatalkan kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Amirul berjalan menuju ke beranda kondominiumnya. Dia membuang pandanganya ke bawah. Ini bukan kali pertama persembahannya dibatalkan pada saat-saat akhir. Dia menolak tawaran lain bagi memenuhi tawaran-tawaran tersebut. Tetapi alih-alih tawaran tersebut dibatalkan tanpa alasan yang kukuh. Kerjayanya semakin hari semakin merundum. Tawaran juga semakin berkurangan. Lebih mengeruhkan keadaan, album studionya yang dijadual untuk dipasarkan pada bulan ini terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada penyanyi baru. Wartawan-wartawan juga sudah kurang menulis mengenai dirinya.
“Aku tak boleh menyerah kalah. Insya Allah rezeki aku ada.” Bisik hati kecil Amirul.
           
            Pelbagai aktiviti dilakukan oleh Amirul bagi menaikkan semula namanya. Dia cuba mencari rezeki dengan membuat persembahan pentas di Fun Fair. Dia juga melibatkan dirinya dalam semua aktiviti hiburan yang dianjurkan untuk selebriti. Walaupun setiap yang dilakukannya tidak membuahkan hasil, Amirul tidak mengalah. Dia teruskan juga perjuangannya kerana Rania sentiasa menemaninya di sisi.
Melihatkan kerjaya Amirul sudah berada di tahap kehancuran, Rania mula membuka rahsianya. Dia menceritakan kesemuanya kepada Amirul. Ayahnya adalah punca di sebalik semua yang terjadi. Amirul benar-benar terkejut. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa kerjayanya musnah adalah angkara ayah Rania. Dia benar-benar kehilangan kata-kata.
“Maafkan I Amirul. I tak sangka papa I akan buat macam tu. I ingat dia akan beralah bila I tetap dengan keputusan I. Ternyata I silap. Dia benar-benar tak boleh terima hubungan kita.” Ujar Rania dalam esak tangisnya. Air matanya yang jatuh mengalir di pipi dibiarkan sahaja. Tangannya mengenggam erat tangan Amirul. Namun Amirul masih tetap diam seribu bahasa. Tiada sebarang reaksi.
“Jika hubungan kita ni hanya akan membawa kedukaan dalam hidup U, lebih baik kita berpisah. I tak sanggup tengok hidup U macam ni. Seolah-olah I ni membawa malang dalam hidup U sahaja.” Luah Rania sambil melepaskan genggaman tanggannya. Amirul tersentak dengan keputusan Rania yang mendadak itu. Dia cuba mencari kepastian dalam kata-kata yang baru sahaja dilafazkan itu. Adakah Rania benar-benar nekad untuk meninggalkannya. Amirul tertunduk lemah.
“Kerjaya I dah hilang dan sekarang U nak pergi tinggalkan I?” Lemah kedengaran nada suara Amirul. Dia mengangkat mukanya. Memandang lembut wajah Rania.
“Rania, kerjaya yang musnah boleh dibina semula. Boleh dicipta semula kegemilangannya. Tapi cinta yang hilang sangat sukar untuk dicari semula. Sukar untuk dicipta semula. Jangan tinggalkan I Rania. Tak mungkin I dapat cari cinta seperti ini lagi. Please Rania.” Amirul mencapai semula tangan Rania. Dia mengenggam erat tangan Rania. Dalam esakan, Rania mengangguk berulang kali. Dia berjanji tidak akan meninggalkan Amirul.

            “Aku nak kahwin lari dengan dia.” Shafie terkesima. Rania yang tergesa-gesa mahu berjumpa dengannya pada malam itu hanya untuk memberitahu keputusan yang telah dibuat olehnya yang dia mahu kahwin lari dengan Amirul!. Ternyata Rania telah kemaruk cinta sehingga tidak dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.
“Fikir masak-masak Nia. Kau bawa maruah keluarga bersama kau. Jangan sampai ayah kau terima padah kesan dari tindakan kau ni.” Pujuk Shafie. Tetapi Rania tidak termakan dengan kata-kata nasihat Shafie. Rania sememangnya sudah nekad untuk lari bersama dengan Amirul. Melihatkan kesungguhan Rania, Shafie terus menghubungi Amirul. Dia cuba menasihati Amirul supaya memujuk Rania tetapi Amirul juga seakan sudah mati akal. Bagi mereka, kahwin lari adalah satu-satunya jalan untuk menyatukan cinta mereka. Akhirnya Shafie mengalah dengan keputusan Rania dan Amirul. Mereka berdua telah merancang untuk meninggalkan Malaysia dan berkahwin di luar negara.
“Aku tak membantah apa yang korang nak buat sebab korang berdua dah besar. Korang dah tahu bezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Tapi ia tak bermakna aku setuju dengan tindakan korang ni. So, kalau korang nak teruskan juga, kau uruskanlah semuanya sendiri. Aku tak akan masuk campur. Pandai-pandailah kau bagitau papa kau.” Keras nada suara Shafie. Lalu dia terus masuk ke dalam rumah dan meninggalkan Rania seorang diri di halaman rumahnya. Dia menutup pintu dan terus mengunci pintu rumahnya. Dia benar-benar kecewa dengan Rania. Rania dan Amirul seperti sudah hilang pedoman. Cinta telah membutakan hati mereka.

...Untuk ketahui sambungannya, sila ke halaman berikut:


..Terima kasih kerana sudi membaca karya saya..... 

No comments:

Post a Comment